12:57 PTG

Coretan Bumi Syam

Dicatat oleh ibnukamal93

Selamat datang dan terima kasih sudi menjengah seketika ke medan baru ini. Blog lama secara rasminya ditutup dengan kehadiran entri ini. Dengan rendah diri saya mengalu-alukan sebarang kritikan pembaca.Entri ini juga tak bersifat ilmiah, hanya sekadar berkongsi

Sedar atau tidak, setiap hari yang kita lalui pasti memberikan sesuatu erti dan coretan warna baru dalam kehidupan kita. Saya tunduk tawaddhuk kiranya anda menolak kenyataan saya ini mentah-mentah. Malaysia kan Negara demokrasi!

Setelah sekian lama tidak menulis, akhirnya saya menggagahkan diri meringankan tulang tangan yang tak seberat mana ni untuk menaip. Sebagai entri pertama di Bumi Syam ini, saya sangat tertarik untuk berkongsi seerah perjuangan junjungan agung yang mulia ar-Rasul S.A.W. Sebelum mula membaca diharapkan anda jangan cuba membayangkan saya seperti wajah guru sejarah sewaktu tingkatan 5 anda ye..ape pun guru sejarah sekolah saya best ok!

 Betulkan kaca mata anda dengan penuh bergaya, tarik nafas dalam-dalam, silahkan membaca dengan mata hati anda..

 Tahun dukacita…pernahkah kita cuba selami dengan benar apakah tahap kedukacitaan kekasih agung ar-Rasul pada tika itu? Soalan saya tak perlu jawapan anda yang penuh sangsi itu, saya yakin jawapannya tidak. Bahkan saya sendiri masih belajar untuk mengerti. Sedikit revisi (baca revision) tentang tahun dukacita, tahun kematian isteri baginda ar-Rasul, Saidatina Khadijah dan bapa saudara baginda, Abu Tholib.. kehilangan dua insan ini cukup memberi tamparan hebat kepada baginda sekaligus menjadi kerugian yang besar pada islam.

Khadijah merupakan insan istimewa, istimewanya tiada dua, nantikan entri seterusnya “Jika Saidatina Khadijah di sisi” insyaAllah saya akan huraikan sekadar termampu. (chewah sempat lagi promote!) so?

 Kaum musyrikin ketika itu mengambil kesempatan ini untuk menyakiti baginda. Kemudian baginda menuju ke Taif dengan harapan risalah islam ini bakal diterima oleh Bani Thaqif. Namun mereka menolak dakwah Baginda secara kasar. Mereka menghasut kanak-kanak untuk menyakiti Baginda. Kanak-kanak tersebut telah melontar batu ke arah Baginda sehingga darah mengalir daripada kedua kaki Baginda yang suci. Cuba kita letakkan diri kita dalam situasi baginda. Setelah kematian orang yang sangat anda sayangi, anda pastinya menantikan sokongan dari sahabat-sahabat dan kenalan. Namun sebaliknya yang diterima adalah kesakitan demi kesakitan. Lantas anda memilih untuk berhijrah, dan di sana anda disambut dengan penuh hormat oleh kerikil-kerikil yang menyerang bagai angry bird! Sudah jatuh ditimpa escalator!! Pastinya tika itu kesabaran kita memuncak. Namun apa yang ar-Rasul lakukan? Dijulang tangannya bukan untuk membalas serangan. Bahkan dihadiahkannya dengan doa yang penuh pembuktian cinta:

 اللهم إليك أشكو ضعف قوتي وقلة حيلتي وهواني على الناس ياأرحم الراحمين أنت أرحم الراحمين أنت رب المستضعفين وأنت ربي إلى من تكلني إلى عدو يتجهمني أم إلى صديق مكلته إمري إن لم يكن بك غضب علي فلا أبالي ولكن عافيتك هي أوسع لي أعوذ بنور وجهك الذي أضاءت له السموات و الأرض وأشرقت له الظلمات وصلح عليه أمر الدنيا والأخره أن ينزل بي غضبك أو يحل علي سخطك لك العتبى حتى ترضى ولاحول ولاقوة إلابك  

“Ya Allah, aku mengadu kepada-Mu kelemahan kekuatanku, sedikitnya kemampuanku dan hinanya aku pada pandangan manusia. Wahai Tuhan Yang Maha Pengasih, Kamulah Tuhan golongan yang lemah dan Kamu juga Tuhanku. Kepada siapa Kamu serahkan aku ? Kepada orang jauh yang memandangku dengan wajah bengis3 atau kepada musuh yang menguasai urusanku? Sekiranya Kamu tidak murka kepadaku, aku tidak peduli (apa yang menimpa). Namun keselamatan daripada-Mu lebih melapangkan aku. Aku berlindung dengan cahaya wajah-Mu yang menyinari kegelapan serta memperelokkan urusan dunia dan akhirat. Aku berlindung daripada kemarahan-Mu atau kemurkaan-Mu terkena kepadaku. Kamu berhak untuk mencela aku sehingga Kamu redha. Tiada kuasa dan tiada kekuatan melainkan dengan-Mu.” 

Pastinya nabi berhak mendoakan kecelakaan pada mereka. Bahkan jika didoakan agar dibalikkan bumi ibarat kaum nabi Lut pastinya Allah mampu melakukan sekelip mata. Maka akan wujudlah laut mati kedua di tanah Saudi hari ini.eh… Namun hikmahnya tindakan baginda, membalas kebencian dengan cinta, membalas segala amarah dengan sabar. Adakah apa yang kita terima hari ini lebih dahsyat daripada baginda sebagai justifikasi segala kemarahan menggila? Marah itu dari syaitan…bertaqwalah wahai diri ini dan saudara-saudaraku.

Segala pengorbanan baginda nyata tidak sia-sia. Tahukah anda? (soalan ala-ala trivia) setelah kewafatan baginda ramai daripada kalangan umat islam yang murtad. Namun yang terselamat adalah penduduk islam di Mekah, Madinah dan TAIF. Ya Taif! Anak-anak kecil yang dahulunya melemparkan nabi dengan kerikil-kerikil tajam hingga mengalirkan darah baginda yang suci ke bumi menjadi pembela agama ini setelah wafatnya. Penentang jadi pemebela! Kuncinya sabar, kesabaran baginda mengubah segalanya.

 Terkenang peristiwa sahabat-sahabat di Amman ini. Awal-awal masuk rumah baru je dah kena baling batu dengan budak-budak arab. Hari berganti hari, sekarang bukan sahaja boleh bersembang bahkan dihadiahkan mansaf (makanan tradisi Jordan) untuk dinikmati. Alhamdulillah, itulah hikmahnya sabar

Sungguh bumi anbiya’ ini menyeru kita ke sini agar kita boleh belajar sesuatu daripadanya. Pilihan di tangan kita untuk menerimanya sebagai sesuatu yang mematangkan atau sekadar peristiwa yang tak menyenangkan. Wallahualam

0 ulasan: